Alor Setar: "Syukur Alhamdulillah, saya tak sangka kisah saya jaga ayah sakit sampai nak tular macam tu sekali selepas keluar di Harian Metro.

"Syukur Alhamdulillah, terima kasih saya ucapkan dan hanya Allah yang mampu membalas setiap kebaikan semua orang yang membantu kami," kata Siti Nurdiana Mohamad Bistawi, 20.

Kisah Siti Nurdiana, penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kuala Lumpur yang terpaksa menangguhkan pengajian di semester tiga semata-mata untuk menjaga bapanya, Mohamad Bistawi Bakar, 56, yang menghidap kanser paru-paru tahap empat serta hilang penglihatan mata mendapat perhatian ramai selepas disiarkan akhbar ini pada 22 September lalu.

Menurutnya, dia kini menyambung semula pengajian di UPNM, Kem Sungai Besi dan bapanya dibawa tinggal bersamanya di sebuah rumah penginapan di Kem Sungai Besi.