KUALA LUMPUR: Kumpulan wanita popular, Dolla, melakar pencapaian tersendiri apabila membawa muzik pop Malaysia ke pentas Eropah menerusi penampilan sulung di Paris, Perancis, pada 24 Oktober lalu, selepas enam tahun membina nama dalam industri muzik.

Persembahan di The A Music Festival yang berlangsung di Paris Event Centre itu disaksikan hampir 2,000 penonton, termasuk peminat dari Perancis, United Kingdom, Jerman dan Itali.

Dolla yang dianggotai Angel, Sabronzo dan Tabby mempersembahkan 12 lagu, antaranya UGLY, Impikan, Bad dan lagu belum dilancarkan, All Over You. Mereka turut bergandingan dengan Tobii menerusi lagu Bad Girls Like You.

Angel menyifatkan peluang beraksi di Eropah sebagai pencapaian besar selepas enam tahun berusaha mengukuhkan kedudukan dalam industri muzik.