PETALING JAYA: Platform e-dagang perlu mempertimbangkan sekatan bayaran tunai semasa penghantaran (COD) terhadap pembeli yang berulang kali gagal menerima pesanan tanpa alasan munasabah.
Langkah itu bertujuan melindungi peniaga daripada menanggung kos menghantar barangan kepada pembeli dan membawa barangan itu pulang apabila pesanan gagal diserahkan.
Menurut Pengerusi Malaysian E-Commerce Entrepreneurs Association (MECA), Syed Gaddafi Syed Saifuddin, platform e-dagang perlu mempunyai sistem untuk mengenal pasti pembeli yang berulang kali membuat pesanan COD tetapi gagal menerimanya tanpa alasan munasabah.
Beliau berkata, sekiranya kemudahan COD disekat, platform perlu menyediakan mekanisme rayuan yang adil supaya pembeli berpeluang menjelaskan sebab mereka tidak dapat menerima pesanan.









