PETALING JAYA: TF Value-Mart memperuntukkan pelaburan modal (CAPEX) melebihi RM20 juta bagi melancarkan TF Borong, sebuah platform perkhidmatan makanan dan pemborongan yang menyasarkan pengusaha makanan dan minuman (F&B) serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TF Value-Mart, Ho Mun Hao berkata, inisiatif berkenaan dimulakan menerusi pembukaan dua cawangan di Batu Caves dan Taman Connaught sebagai langkah awal memperluas perkhidmatan pemborongan syarikat.

Beliau berkata, TF Borong menyasarkan untuk memperluas rangkaiannya ke 20 cawangan sedia ada menjelang penghujung 2027 bagi menyediakan kemudahan mendapatkan bekalan bahan mentah dan keperluan perniagaan secara lebih menyeluruh.