Kuala Lumpur: Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus dilihat memberi kepastian kepada peminjam dan sektor perniagaan namun kesannya terhadap kuasa beli isi rumah dijangka terhad tanpa peningkatan pendapatan sebenar serta kawalan kos sara hidup.

Pensyarah Pembangunan Ekonomi Arshad Ayub Graduate Business School (AAGBS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Dr Tan Peck Leong berkata, pengekalan kadar faedah itu membantu mengelakkan tekanan pembiayaan tambahan, tetapi tidak memberikan penjimatan baharu kepada isi rumah.

Katanya, kesan perubahan kecil kadar faedah terhadap perbelanjaan isi rumah sebenarnya tidak begitu besar terutama apabila OPR dikekalkan berbanding diturunkan.