KUALA LUMPUR: Pertindihan bidang kuasa antara kementerian, jabatan dan agensi kerajaan dalam mengawal selia operasi rumah sembelihan dikenal pasti antara faktor menyukarkan pemantauan serta penguatkuasaan pematuhan pensijilan halal, sekali gus membuka ruang kepada ketidakpatuhan terhadap hukum syarak.
Keadaan itu menyebabkan tanggungjawab pengawasan operasi rumah sembelihan terbahagi kepada beberapa agensi mengikut fungsi masing-masing, tanpa satu mekanisme penyelarasan menyeluruh yang dapat memastikan setiap peringkat rantaian bekalan ayam mematuhi keperluan halal.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) misalnya bertanggungjawab mengurus permohonan lesen pembinaan rumah sembelihan, lesen operasi dan pembaharuan lesen, manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi tumpuan kepada penguatkuasaan undang-undang berkaitan integriti perdagangan, penjualan borong ayam tanpa lesen barang kawalan berjadual yang sah serta penyalahgunaan logo atau sijil halal.










