Melaka: Isu kekurangan sekolah dan kepadatan murid di Durian Tunggal antara perkara yang akan diperjuangkan calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, Datuk Dr Mustafa Musa.
Beliau yang juga dikenali sebagai Cikgu Mustafa berkata, latar belakangnya sebagai bekas guru menjadikan pendidikan antara keutamaan, khususnya dalam menangani masalah kepadatan sekolah yang sekian lama membelenggu penduduk di kawasan itu.
"Walaupun kita bersyukur kerana dapat menyediakan kelas tambahan, perjuangan kita adalah mendapatkan sebuah sekolah menengah baharu bagi menjamin keselesaan, mengambil kira pertambahan jumlah penduduk.
"Banyak taman perumahan berskala besar memerlukan sebuah sekolah menengah baharu di Durian Tunggal. Selain itu, beberapa tapak untuk pembinaan sekolah rendah juga sudah dikenal pasti, termasuk di Scientex yang sudah menyediakan tapak berkenaan.









