KUALA LUMPUR: Jadual padat Johor Darul Ta'zim (JDT) sepanjang bulan ini menjadi antara faktor ketiadaan beberapa tonggak kelab itu dalam senarai 24 pemain Harimau Malaya bagi menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di China bulan ini.

Pengendali interim skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, beliau mengambil kira komitmen JDT yang perlu mengharungi empat perlawanan penting membabitkan saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), Kejuaraan Kelab ASEAN dan separuh akhir Piala FA.

Menurutnya, keputusan itu bukan sahaja memberi ruang kepada JDT menguruskan jadual pertandingan yang padat, malah membolehkan kelab berkenaan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada misi mengutip mata berharga buat Malaysia dalam ranking Persatuan Ahli (MA) di peringkat Asia.