JASIN: Kementerian Kerja Raya menunggu lampu hijau daripada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi melaksanakan pembinaan Klinik Kesihatan Sungai Rambai yang dianggarkan menelan kos RM43.3 juta.

Projek yang dicadangkan dibina di atas tanah seluas tiga hektar di Jalan Parit Putat, Sungai Rambai itu akan menyediakan kemudahan perkhidmatan kesihatan lebih selesa dan memenuhi keperluan penduduk setempat.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, berkata permohonan bagi merealisasikan projek berkenaan sudah dikemuka kepada KKM, manakala pihaknya bertanggungjawab melaksanakan pembinaan selepas mendapat kebenaran berkenaan.

Beliau berkata, cadangan pembinaan klinik kesihatan itu antara usaha yang diperjuang kerajaan Melaka menerusi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Siti Faizah Abd Azis bagi meningkatkan kemudahan kesihatan kawasan berkenaan.