Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal trek kebangsaan Datuk Mohd Azizulhasni Awang menegaskan bahawa misinya untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028) bukan lagi tentang menebus kekecewaan lepas, sebaliknya untuk memahat legasinya sebagai penutup kerjaya yang terbaik.

Pelumba berusia 38 tahun yang menyasarkan penampilan keenamnya di pentas Olimpik itu berkata beliau enggan berfikir terlalu jauh atau membebankan dirinya dengan janji membawa pulang pingat emas, sebaliknya lebih selesa mengambil pendekatan "selangkah demi selangkah", dengan menumpukan sepenuhnya kepada proses kelayakan terlebih dahulu.

Mengimbau kembali jangkaan dan pengajaran yang diperoleh daripada Sukan Olimpik Paris 2024, Mohd Azizulhasni berkata tumpuannya kini ialah semata-mata untuk memberikan penamat kerjaya yang selayaknya, mengikut laluannya sendiri.