Shah Alam: "Kami terpaksa menghubungi bomba meminta bantuan selepas risau ketika itu air semakin naik, tambahan ibu pula lumpuh separuh badan akibat angin ahmar," kata Nur Nazihah Asyiqin Mohd Said, 27.
Dalam kejadian jam 2 pagi ini, kediamannya di Kampung Paya Jaras Hilir, mula dinaiki air selepas hujan sejak jam 10 malam dan berterusan tanpa henti.
Nur Nazihah berkata, air naik terlalu laju sehingga keluarganya terpaksa mendapatkan bantuan bomba untuk menyelamatkan ibunya.
Menurutnya, pada mulanya, adik memaklumkan air sudah mula memasuki rumah, namun dia menyangka keadaan masih terkawal dengan paras air hanya setakat buku lali.









