Georgetown: Dua lelaki maut manakala seorang wanita cedera dalam dua kemalangan jalan raya berasingan di sekitar Pulau Pinang, lewat malam tadi hingga awal pagi ini.

Dalam kejadian pertama jam 11.38 malam, sebuah bas awam Rapid terbabit dalam perlanggaran dengan motosikal Modenas Z250 di hadapan Sunshine Square 1, Jalan Mayang Pasir, Bayan Lepas.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru dikerahkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.

"Setibanya di lokasi, pasukan penyelamat mendapati terdapat dua mangsa yang menaiki motosikal berkenaan. Seorang wanita berusia 23 tahun yang tersepit di bahagian hadapan bas berjaya dikeluarkan pada jam 11.55 malam sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang menggunakan ambulans komuniti selepas menerima rawatan awal.