SEREMBAN: Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) terus memperkukuh perkhidmatan kaunseling profesional yang terbuka kepada semua kaum, dengan memberi penekanan terhadap etika, kerahsiaan klien dan kesejahteraan masyarakat.
MAINS antara majlis agama Islam negeri yang mempunyai bahagian khusus bagi menyediakan perkhidmatan kaunseling secara lebih menyeluruh, merangkumi aspek kekeluargaan, psikologi, kesihatan mental dan pembangunan sahsiah.
Setiausahanya, Zainal Said, berkata perkhidmatan berkenaan dilaksanakan menerusi Bahagian Kaunseling dan Pembangunan Sahsiah MAINS yang menawarkan pelbagai bentuk bimbingan mengikut keperluan individu, keluarga dan komuniti.
Katanya, skop perkhidmatan bukan hanya tertumpu kepada isu perkahwinan, sebaliknya turut meliputi khidmat nasihat undang-undang keluarga Islam, kaunseling individu dan kelompok, organisasi, asnaf, komuniti serta kaunseling kesihatan mental dan syarie.










