KETIKA sebahagian besar remaja lain masih lena dibuai mimpi, sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok Bachok, Kelantan sudah memulakan perjuangan mereka dengan mengulang bacaan ayat demi ayat suci al-Quran seawal pukul 4.30 pagi.
Dalam suasana dinihari yang sunyi, mushaf menjadi teman setia mereka untuk mengukuhkan hafazan.
Manakala disiplin dan pengurusan masa menjadi kunci bagi memastikan tuntutan menghafaz al-Quran tidak mengganggu pembelajaran akademik.
Rutin yang berulang pada setiap hari itu akhirnya membuahkan hasil apabila seramai 171 pelajar tingkatan lima sekolah berkenaan berjaya mengkhatamkan hafazan 30 juzuk al-Quran menerusi Program Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA), sekali gus mencapai 100 peratus bagi ‘kohort’ berkenaan pada Majlis Khatam al-Quran Perdana 202, baru-baru ini.









