Bangi: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terus melangkah ke hadapan dalam memperkasakan kesiapsiagaan operasi penyelamatan pantai negara menerusi perolehan 20 unit kenderaan pelbagai permukaan (All-Terrain Vehicle - ATV) baharu.
Aset taktikal terbaharu itu diserahkan secara rasmi dalam Sesi Demonstrasi dan Pre-Delivery Inspection (PDI) yang disempurnakan oleh Ketua Pesuruhjaya APM, Mohammad Abiddin Abd Rahman bertempat di Lobi Utama, Ibu Pejabat Pertahanan Awam (IPPA), di sini, semalam.
Majlis penuh bermakna itu dimulakan dengan bacaan doa dipimpin Pegawai Pasukan Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi IPPA, Leftenan Ahmad Musyir Yusry, sebelum disusuli dengan sesi demonstrasi serta pemeriksaan teknikal terperinci oleh pihak pembekal, Harel Technologies Sdn. Bhd.








