KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Selangor dan Perak meningkat kepada 1,252 orang membabitkan 335 keluarga yang ditempatkan 10 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 7.30 pagi ini.

Perak menjadi negeri terbaru dilaporkan dilanda banjir dengan pembukaan dua PPS, semalam.

Berdasarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa membabitkan 335 lelaki dewasa termasuk 34 warga emas, 356 wanita dewasa termasuk 35 warga emas, 263 kanak-kanak lelaki, 268 kanak-kanak perempuan, dan masing-masing 15 bayi lelaki serta perempuan.

Menurutnya, Selangor merekodkan seramai 1,140 mangsa banjir (300 keluarga) yang kini berlindung di lapan PPS sekitar tiga daerah.