Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir di Negeri Sembilan dan Perak meningkat sedikit manakala di Kedah kekal, dengan 130 orang daripada 49 keluarga di tiga negeri berkenaan masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS), setakat pagi ini.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 34 mangsa daripada 12 keluarga berbanding 23 orang daripada tujuh keluarga semalam yang berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Serong di daerah Kerian.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa banjir dari Taman Aman Sejahtera dan Taman Desa Aman 1 ditempatkan di PPS itu sejak Khamis lepas.

Di NEGERI SEMBILAN, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 87 orang daripada 35 keluarga berbanding 82 mangsa daripada 33 keluarga semalam dengan kesemua mereka ditempatkan di dua PPS di Kuala Pilah iaitu SK Undang Johol dan Dewan Orang Ramai Dangi.