Riyadh, Arab Saudi, 6 November: Gabungan tentera diketuai Arab Saudi yang memerangi kumpulan Houthi di Yaman berkata pihaknya memintas sebuah dron di wilayah Makkah, kota paling suci bagi umat Islam, susulan beberapa serangan kumpulan yang disokong Iran itu terhadap kerajaan berkenaan.
"Pemintasan dan pemusnahan sebuah dron di wilayah Makkah," tulis jurucakap gabungan itu, Turki al-Malki, di media sosial pada Jumaat tanpa memperincikan sumber serangan berkenaan.
Sejak gencatan senjata gagal pada Julai lalu, Arab Saudi dan Houthi saling melancarkan serangan, dengan kumpulan itu menyasarkan lapangan terbang, infrastruktur tenaga dan lokasi ketenteraan Arab Saudi.
Bagaimanapun, kumpulan berkenaan berulang kali menegaskan tenteranya tidak akan menyasarkan kota suci Makkah atau Madinah.










