LAHAD DATU - Seorang wanita warga emas kerugian wang tunai dan barang kemas selepas diperdaya dengan helah membantu menebus hadiah kemenangan loteri, di sini.Mangsa itu dipercayai terpedaya apabila dipukau selepas didatangi suspek yang meminta bantuannya menebus hadiah kemenangan loteri dengan syarat menyerahkan wang tunai atau barang kemas sebagai jaminan.Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, pihaknya menerima aduan daripada mangsa bahawa dia telah ditipu oleh individu tersebut."Menurut aduan, mangsa menyatakan dia telah ditipu dalam penebusan tiket Toto dan meminta bantuan mangsa untuk menebus tiket tersebut dengan syarat perlu membayar wang jaminan berupa wang tunai atau barangan kemas."Susulan aduan tersebut, hasil risikan dan siasatan serta tindakan operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu telah berjaya menahan dua lelaki warga Indonesia berusia 51 dan 52 tahun."Turut dirampas sebuah kenderaan jenis Proton Bezza dan sekeping cek bertandakan 'Sport Toto' yang disyaki palsu," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.Dzulbaharin berkata, siasatan lanjut mendapati modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan menyasarkan wanita berusia dan salah seorang suspek akan mendekati mangsa lalu bercakap seolah-olah berkenalan dengan mangsa."Suspek akan meminta bantuan mangsa untuk menebuskan kemenangan tiket Toto dengan menunjukkan tiket toto dengan menunjukkan tiket toto dan cek tunai yang disyaki palsu lalu membawa mangsa masuk ke dalam kereta."Mangsa kemudiannya dibawa berdekatan dengan kedai loteri dan semasa dalam perjalanan, suspek akan meminta mangsa menyerahkan wang tunai dan barangan kemas sebagai jaminan."Setelah mangsa diturunkan dan berjalan ke kedai Toto, suspek-suspek akan melarikan diri," katanya.Susulan kejadian tersebut, beliau berkata, pihak polis sedang mengesan seorang lagi suspek yang dikehendaki."Suspek warga Indonesia dikenali sebagai Raswandi Armansyah dan nama panggilannya ialah Roy dan Salim."Sebarang maklumat mengenai suspek boleh disalurkan di talian IPD Lahad Datu 089-881255 atau menghubungi risikan atau operasi di talian 0162575282," katanya.Sehubungan itu, Dzulbaharin menasihatkan orang ramai supaya tidak terperangkap dalam tawaran yang tidak munasabah dan jangan mudah mempercayai individu yang tidak dikenali."Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan masih dalam proses siasatan."Sekiranya disabitkan kesalahan hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun, dengan sebatan serta denda," katanya.