Kesihatan terbatas, suami isteri upah orang pindah barang hadapi banjir
RANTAU PANJANG: Bimbang kejadian banjir berulang dengan paras air mencecah sehingga dua meter, sebuah keluarga di Kampung Kubang Kuar, di sini, mengambil langkah berjaga-jaga dengan memindahkan barangan rumah ke tempat lebih tinggi sejak awal bulan ini.
Siti Norzulaikha Ramli, 41, berkata, keadaan kesihatan dirinya dan suami, Mohd Durizaki Yaacob, 48, menyebabkan mereka terpaksa mengupah individu untuk membantu mengangkat barangan rumah ke atas rak yang dibina lebih tinggi sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir.
Ibu kepada dua cahaya mata ini berkata, dia mengambil keputusan mengupah orang bagi membantu memindahkan barangan rumah sejak awal bulan ini kerana tidak mahu mengambil risiko sekiranya air naik secara mendadak.








