SEPANG - Mitos yang mengatakan bakal juruterbang memerlukan keputusan subjek Matematik dan Fizik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang sebagai syarat masuk kursus tersebut perlu diperbetulkan segera.Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Admal Aviation College, Abdul Malek Packeer, mitos atau kefahaman tersebut menyebabkan ramai lepasan SPM tidak berminat dan enggan menceburi bidang tersebut."Sebenarnya pandangan yang mengatakan sesiapa yang berminat menjadi juruterbang perlu lulus cemerlang dalam subjek Fizik dan Matematik adalah pandangan yang salah."Untuk mengikuti kursus penerbangan di kolej kami, syarat minimum hanyalah lima kredit subjek yang diambil semasa SPM," katanya kepada pemberita di sini selepas Majlis Konvokesyen Kali Ke-12 Admal College Aviation yang diadakan di Bangi Avenue Convention pada Jumaat.Abdul Malek berkata, untuk melayakkan seseorang menjadi juruterbang, individu terbabit perlu mendapat Lesen Juruterbang Komersial di Malaysia dikenali sebagai Commercial Pilot Licence (CPL), yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).Katanya, program tersebut dikhaskan untuk mereka yang ingin menjadi juruterbang komersial profesional di syarikat penerbangan seperti AirAsia atau Malaysia Airlines."Program ini biasanya disepadukan bersama Diploma in Aviation Management. Kelayakan akademik SPM atau O-Level minimum lima kredit (Kepujian) mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik, mana-mana subjek Sains seperti Fizik atau Sains Am serta dua mata pelajaran lain."Syarat kesihatan, pemohon lesen perlu lulus pemeriksaan kesihatan dan memperoleh Sijil Perubatan Kelas 1 daripada pakar perubatan penerbangan yang diiktiraf oleh CAAM. Calon mestilah tidak buta warna," ujarnya.Mengulas lanjut mengenai kursus lain di kolej terbabit, ia merupakan antara pengeluar Jurutera Penyelenggaraan Pesawat Berlesen (JPPB) terbesar di negara ini sejak pihaknya mendapat kelulusan pihak berkuasa pada tahun 2016.Jelasnya lagi, sejak tahun 2020 seramai 400 lepasan kolej terbabit telah menjadi JPPB."Pada pandangan saya, boleh juga dikatakan kami merupakan pengeluar JPPB terbesar di negara ini dengan menghasilkan 60 hingga 80 jurutera tersebut setiap tahun," ujarnya.