KEMUNCULAN semula Fatin Afeefa menerusi layar perak selepas sekian lama menyepi daripada dunia lakonan mengundang pelbagai tanda tanya, apatah lagi pelakon itu sebelum ini sudah mengumumkan persaraan secara rasmi daripada bidang seni.

Lebih mencuri perhatian, penampilan Fatin tanpa hijab dalam filem seram Bisikan mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan netizen, memandangkan dia kini muncul dengan imej Muslimah selepas melalui fasa penghijrahan.

Hakikatnya, karya arahan Opie Zami yang menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia bermula 19 November itu merupakan antara naskhah terakhir disempurnakannya sebelum meninggalkan dunia lakonan demi memberi perhatian sepenuhnya kepada keluarga.

Didakwa sengaja ‘membuang’ hijab dalam filem terbabit, pemilik nama sebenar Fatin Nur Afifah Shamsudin itu menjelaskan salah faham dengan menegaskan penggambaran filem itu berlangsung sekitar enam tahun lalu ketika dia belum bertudung.