Anak perempuan bekas perdana menteri Najib Razak mempersoalkan mengapa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menerima bayaran denda RM50 juta bagi membolehkan bapanya menyambung baki hukuman penjara di rumah, sekiranya masih terdapat halangan yang menghalang pembebasannya dari Penjara Kajang.

Nooryana Najwa mempersoalkan perkara itu susulan kekecohan berhubung pembebasan bapanya dari penjara yang sepatutnya berlaku semalam.

Najib pada awalnya dijangka pulang ke kediamannya di Jalan Langgak Duta untuk menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah, namun rancangan itu akhirnya tidak menjadi kenyataan.

Menerusi hantaran di Instagram malam tadi, Nooryana berkata keluarganya difahamkan bahawa pembayaran denda RM50 juta merupakan syarat utama bagi membolehkan Najib menjalani tahanan rumah.