Petaling Jaya: Pelakon, Fatin Afeefa mengakui berdepan kecaman selepas berkongsi semula bahan promosi filem Bisikan yang menampilkannya tidak bertudung di Instagram, (IG) namun memilih untuk tidak memberikan respons.
Fatin atau nama sebenarnya, Fatin Nur Afifah Shamsudin, 32, berkata dia berasa tiada keperluan untuk memberikan penjelasan kerana penggambaran dibuat sebelum dirinya berhijab, kira-kira enam tahun lalu.
"Saya tidak beri sebarang penjelasan mengenai penampilan tidak bertudung dalam filem Bisikan kerana tengok filem ini pun boleh nampak perbezaannya. Dalam filem itu, saya nampak tembam sedikit, sekarang sudah kurus.
"Saya rasa apabila orang tengok penampilan terbaharu di media sosial itu sudah mencukupi. Tidak perlu jelaskan banyak kali kerana saya sudah empat tahun bertudung," katanya.










