JOHOR BAHRU: Walaupun Johor Darul Ta'zim (JDT) ibarat berada sebelah kaki untuk beraksi di pentas final namun pasukan itu tidak boleh terlalu selesa sebaliknya harus tampil lebih mantap apabila melayani kunjungan DPMM FC dalam aksi timbal balik separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, malam esok.

Berbekal kemenangan 2-0 ketika aksi separuh akhir pertama di Stadium Nasional Hassanal Bolkiah, 23 Oktober lalu, skuad bimbingan Xisco Munoz bakal berdepan corak permainan lebih agresif daripada barisan pemain anak didik James McAllister yang turut mengintai slot ke pentas final.

Justeru, Munoz harus meningkatkan lagi kualiti permainan yang berintensiti tinggi dan memperkemaskan transisi umpanan dan gerakan lebih efektif tatkala perlu bangkit daripada kekecewaan selepas tewas 0-2 kepada kelab dari Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motor FC dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), Selasa lalu.