WASHINGTON: Bekas Senator Amerika Syarikat (AS), John D 'Jay' Rockefeller IV, disahkan meninggal dunia di kediamannya di Washington DC, semalam, lapor Anadolu Ajansi memetik The Washington Post.

Beliau menghembuskan nafas terakhir pada usia 89 tahun. Bagaimanapun, keluarganya tidak mendedahkan punca kematian, menurut akhbar itu.

Rockefeller adalah seorang tokoh politik daripada keluarga berpengaruh yang menghabiskan puluhan tahun memperjuangkan akses kepada perkhidmatan kesihatan dan kebajikan sosial di Virginia Barat.

Ahli Parti Demokrat itu berkhidmat selama lima penggal sebagai Senator dari 1985 hingga 2015 selepas dua penggal menjadi Gabenor Virginia Barat.