Bukan untuk menandingi sesiapa, jauh sekali mencetuskan persaingan, sebaliknya mahu membuktikan irama tradisional mampu berdiri megah di pentas berskala besar.
Itu penegasan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengenai penganjuran konsert Gema Bumantara yang disifatkan sebagai manifestasi tanggungjawabnya dalam memartabatkan muzik tradisional, bukan medan untuk berlumba-lumba mencipta pencapaian dengan mana-mana pihak.
Menurut Siti, konsert berkenaan merupakan usahanya untuk memberikan persembahan terbaik berdasarkan kemampuan yang dimiliki ketika ini, selain memperlihatkan potensi irama tradisional untuk terus berkembang dan mendapat tempat dalam industri muzik tanah air.
“Saya buat atas tanggungjawab kepada irama tradisional. Saya nak tunjukkan kalau kita nak buat tradisional, ini yang saya berikan, yang terbaik dengan kemampuan saya ketika ini. Kalau ada tajaan lebih besar, kita boleh buat lagi hebat!” katanya.









