KUALA LUMPUR: Pentas Zepp Kuala Lumpur bertukar meriah apabila barisan penyanyi wanita tanah air daripada pelbagai generasi bergabung menerusi Konsert Elegant Selamanya, baru-baru ini.
Menghimpunkan nama besar seperti Datuk Ziana Zain, Erra Fazira, Nourul dan kumpulan Elite, konsert itu bukan sahaja menyajikan deretan lagu popular, malah mengimbau nostalgia perjalanan muzik tempatan yang terus mekar merentas zaman.
Konsert bersempena ulang tahun ketujuh Elegant Cosmetics itu turut menampilkan dua dutanya, Erra dan Azar Azmi, selain persembahan Anggrek, Odda, Umairah, Adira serta Zaki Yamani.
Tirai persembahan dibuka menerusi duet Erra dan Azar menerusi lagu Hanya Di Mata, sekali gus menyaksikan Azar keluar daripada zon selesanya sebagai pelakon untuk menguji kemampuan di pentas nyanyian.









