PETALING JAYA: Pingat emas Wong Kar Gee bukan sekadar kejayaan peribadi, malah melengkapkan sasaran enam emas kontinjen Malaysia pada Sukan Para Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas atlet lompat jauh itu muncul juara acara lelaki T12, semalam.
Atlet berusia 35 tahun itu mencatat lompatan sejauh 6.74 meter (m) menerusi percubaan pertama di Stadium Nagoya City Mizuho Park Athletic untuk menghadiahkan emas keenam negara pada temasya berkenaan.
Kar Gee mempamerkan prestasi konsisten apabila merekodkan lompatan 6.60m, 6.47m, 6.36m, 6.39m dan 6.40m dalam lima percubaan berikutnya, namun catatan awalnya sudah cukup untuk memastikan kedudukan teratas.
Kejayaan itu turut menyaksikan Kar Gee memperbaiki pencapaian pada Sukan Para Asia 2014 di Incheon apabila meraih pingat perak dalam acara sama, sekali gus menambah satu lagi kejayaan penting dalam kariernya di pentas Asia.






