KOTA BHARU - Seorang pembantu kedai tidak menyangka pembelian baju RM115 membawa tuah apabila memenangi sebuah rumah bernilai RM450,000 menerusi cabutan bertuah pada program Mat Motor Day 2.0 yang ditaja oleh Kedai Emas Sri Semantan pada Sabtu lalu.Program itu dianjurkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Mat Motor Day, Arif Mustafa yang diadakan di Lembah Sireh selama dua hari pada Jumaat dan Sabtu berjaya menghimpunkan 200,000 peminat motosikal dari seluruh negara.Lebih manis, kemenangan itu membawa sinar baharu buat Muhammad Fakhrul Rozi Fazil, 30, yang selama ini tinggal menyewa bersama isterinya, Roslina Ibrahim, 31, dan anak mereka yang berusia tiga tahun di Kampung Kajang Sebidang, Tumpat.Muhammad Fakhrul tidak menyangka akan terpilih sebagai pemenang hadiah utama kerana penyertaannya hanya bermula dengan hasrat membeli baju untuknya serta anak perempuan ketika berkunjung ke program itu."Saya dan isteri membelanjakan kira-kira RM115 sebelum mengambil bahagian dalam cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik."Saya memang teruja dan tidak menyangka akan memenangi sebuah rumah kerana tujuan saya ke sana hanyalah untuk melihat suasana program memandangkan saya memang meminati dunia permotoran."Apabila nombor saya diumumkan sebagai pemenang, saya benar-benar terkejut kerana tidak pernah terlintas atau bermimpi akan membawa pulang hadiah sebuah rumah," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Rumah di Kampung Danan, Melor, di sini pada Selasa.Mengimbas kembali sebelum kemenangan itu, Muhammad Fakhrul memberitahu, majikannya meminta dia kembali bekerja pada hari tersebut untuk sesi sebelah malam.Bagaimanapun beliau menolak permintaan itu dan memaklumkan kepada majikannya mengenai hasrat untuk menghadiri program serta menyertai cabutan bertuah. Malah, sebelum berangkat, majikannya sempat memberikan kata-kata semangat."Majikan saya berpesan, ’Semoga awak bertuah.’ Saya tidak sangka doa itu benar-benar dimakbulkan," katanya.Muhammad Fakhrul turut kehilangan wang tunai miliknya berjumlah RM30 ketika berada di program itu."Apabila duit itu hilang, saya fikir mungkin bukan rezeki saya pada hari berkenaan. Namun, saya tidak sangka ALLAH menggantikannya dengan rezeki yang jauh lebih besar apabila diumumkan sebagai pemenang sebuah rumah," katanya.Muhammad Fakhrul yang bekerja sebagai pembantu kedai di Kelapa Laut Shake berkata, pendapatannya bergantung kepada jumlah pelanggan dengan anggaran sekitar RM60 hingga RM70 sehari.Beliau dan isterinya sebelum ini perlu menyewa sebuah rumah dan membayar RM250 sebulan, sekali gus menjadikan kemenangan itu amat bermakna buat keluarga kecil mereka.Katanya, kemenangan tersebut bukan sahaja menggembirakan dirinya, malah isteri yang turut berada di lokasi ketika pengumuman pemenang dibuat."Rumah ini sangat bermakna buat kami sekeluarga. Ia seperti mimpi apabila dapat memegang kunci sebuah rumah banglo empat bilik. "Syukur, akhirnya kami mempunyai rumah sendiri," katanya.Hargai pelanggan setiaSeme