KUALA LUMPUR: Menghimpunkan kira-kira 73,000 penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil, Konsert Tradisional Gema Bumantara bukan sekadar memperlihatkan kehebatan vokal Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, malah menjadi wadah mengangkat martabat muzik tradisional sebagai khazanah bangsa yang perlu terus dipelihara.

Dipentaskan dengan penuh warna-warni, Sabtu lalu, konsert berskala mega itu membawa mesej jelas bahawa irama warisan tidak seharusnya sekadar bersemadi dalam lipatan sejarah, sebaliknya terus hidup dan berkembang merentas generasi.

Siti, 47, membuktikan kecintaannya terhadap muzik tradisional bukan sekadar diterjemahkan menerusi rakaman album, malah dizahirkan melalui persembahan yang menggabungkan nyanyian, tarian, seni persembahan tradisional dan busana warisan.