JAKARTA: Bekas Menteri Perdagangan Indonesia, Muhammad Lutfi, membidas Syed Saddiq Syed Abdul Rahman susulan gesaan Ahli Parlimen Muar itu supaya ASEAN 'memulaukan' Indonesia berikutan masalah jerebu rentas sempadan yang berulang.
Lutfi berkata, masalah jerebu bukan peluang untuk meraih publisiti politik, murahan, sebaliknya harus ada simpati pada anggota bomba Indonesia yang terkorban ketika memadamkan kebakaran, manakala ratusan ribu rakyat negara itu terpaksa menyedut asap.
Beliau juga menegaskan, syarikat Malaysia yang mengendalikan ladang di Indonesia perlu turut bertanggungjawab terhadap krisis berkenaan.
Katanya, kumpulan perladangan Malaysia menguasai sehingga 3.4 juta hektar tanah di negara itu, manakala sebahagiannya membiayai operasi melalui bank Malaysia.








