PETALING JAYA– Kerajaan dicadang mengambil tindakan lebih tegas terhadap Indonesia sekiranya terbukti jerebu yang melanda Malaysia ketika ini berpunca daripada kebakaran hutan di negara berkenaan.
Ketua Penerangan Pas Pusat, Fadhli Shaari berkata, antara langkah yang boleh dipertimbangkan ialah membuat aduan rasmi melalui ASEAN selain mendapatkan bantuan badan antarabangsa termasuk Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP).
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, kerajaan perlu mula mengira jumlah kerugian yang ditanggung Malaysia akibat pencemaran udara rentas sempadan tersebut.
“Perjanjian ASEAN berkaitan jerebu ini wajib dipinda. Perlu ada mekanisme yang membolehkan negara yang terbukti bertanggungjawab dikenakan denda dan diwajibkan membayar pampasan kepada negara yang terjejas.










