SEPANG: "Jutaan terima kasih kepada seluruh masyarakat yang memberi sokongan dari sudut doa dan kiriman mesej."

Demikian penghargaan dizahirkan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, kepada orang ramai yang memberinya kekuatan serta keyakinan untuk menghadapi proses perundangan di mahkamah, hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat itu amat bermakna ketika beliau berdepan proses berkenaan.

"Itu yang membuatkan saya mempunyai kekuatan serta keyakinan dalam meneruskan proses perundangan ini," katanya ringkas kepada pemberita di lobi Kompleks Mahkamah Sesyen dan Majistret Sepang, di sini, pagi ini.