BEREGU lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kini berperang dengan masa untuk memastikan tahap kecergasan berada pada tahap terbaik menjelang saingan Jelajah Dunia Akhir (WTF) di Hangzhou, China, susulan kecederaan tumit kanan yang masih belum pulih sepenuhnya.

Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi mengakui, pihaknya belum dapat memberikan jaminan sama ada gandingan nombor empat dunia itu mampu beraksi pada kejohanan berprestij berkenaan kerana tidak mahu mengambil risiko terhadap tahap kesihatan pemain.

Menurut Herry, Wooi Yik sudah menjalani proses rehabilitasi serta mendapatkan rawatan dan nasihat pakar perubatan sebaik pulang dari Eropah, namun tahap pemulihannya masih belum mencapai 100 peratus.