Gemar mengadu kepada pemiliknya setiap kali diganggu ‘abang-abangnya’ antara telatah Buma yang mencuri perhatian netizen dalam media sosial.

Kucing betina kacukan Scottish Fold dan British Shorthair berusia setahun sembilan bulan itu sering mengiau sambil menunjukkan wajah sedih setiap kali diusik, sekali gus membuatkan netizen menggelarnya Princess Buma.

Bentuk telinganya yang seakan-akan tiada pula membuatkan Buma turut dikenali sebagai Bumaemon kerana mengingatkan orang ramai kepada watak animasi Doraemon.

Pemiliknya, Nurulhuda Rashid, 36, berkata, Buma mempunyai perwatakan lembut dan tidak banyak kerenah, malah lebih gemar menghabiskan masa dengan tidur.