Sungai Petani: Seorang anggota polis cedera selepas motosikal ditunggang dihempap pokok tumbang dalam kejadian di hadapan sebuah premis di Padang Temusu, di sini, jam 12 tengah malam tadi.

Mangsa yang bertugas di sebuah balai polis di Pulau Pinang, ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas tamat waktu bekerja.

Berikutan itu, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang tiba di lokasi memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum dia dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan lanjut.

Selain itu, anggota bomba turut bergegas ke lokasi bagi memotong serta mengalihkan pokok terbabit.