MB Selangor Amirudin Shari berkata, kerja mitigasi banjir di seluruh negeri, terutamanya kawasan berisiko lebih tinggi, perlu dipercepatkan dengan kadar amat segera, bukan ikut jadual konvensional. (Gambar Bernama)SHAH ALAM: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) Selangor memutuskan semua kerja pembangunan di Puncak Alam dihentikan segera sementara pelan migitasi banjir serta Penilaian Impak Alam Sekitar dinilai semula.
Menteri Besar Amirudin Shari berkata, pada masa yang sama, Jalan Batu Arang di Rawang akan ditutup sementara oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) susulan runtuhan tebing serta memberi ruang untuk kerja-kerja pembaikan dijalankan.
“Tambahan kepada itu, kerja mitigasi banjir baik yang berskala kecil ataupun besar di seluruh negeri terutamanya kawasan yang berisiko lebih tinggi perlu dipercepatkan dengan kadar amat segera dan bukan mengikut jadual konvensional memandangkan hujan dijangka hampir setiap hari.







