KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai bekalan beras mencukupi untuk menampung keperluan sekurang-kurangnya enam bulan, manakala stok ikan mampu bertahan sehingga lapan bulan sekiranya serangan siber menyebabkan rangkaian komunikasi negara terputus.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata kerajaan bersedia memastikan bekalan makanan terus disalurkan secara fizikal dari ladang sekiranya sistem digital negara mengalami gangguan.

Berucap pada Forum Cendekiawan Malaysia MADANI ke-14 di sini, hari ini, beliau berkata, ancaman peperangan siber ketika ini masih di peringkat awal, namun sudah menjadi realiti yang perlu diberikan perhatian serius.

"Peperangan pada masa depan ialah peperangan siber. Kita mesti bersedia dari segi mental untuk menghadapi perkara ini," katanya.