KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Xisco Munoz memuji sikap profesional dan kesungguhan Muhammad Daniesh Amirruddin yang disifatkan sebagai pemain muda yang berpotensi besar untuk terus berkembang.
Pujian itu hadir selepas aksi positif pemain berusia 20 tahun berkenaan yang sekali lagi mendapat peluang untuk membuktikan kemampuan dirinya di pentas kompetitif bersama JDT.
Malah, bintang muda itu tidak melepaskan peluang menyempurnakan sepakan penalti untuk bantu Harimau Selatan menewaskan DPMM FC 6-1 pada aksi separuh akhir kedua Piala FA, Ahad lalu, sekali gus mara ke final dengan agregat 8-1.
Meskipun dimasukkan di separuh masa kedua untuk beraksi selama 23 minit, Munoz melihat komitmen yang ditampilkan Daniesh yang sentiasa bijak memanfaatkan setiap minit dan peluang yang ada bagi menambah kekuatan serangan pasukan itu.









