DI sebalik setiap artifak yang tersimpan di muzium, tersingkap kisah perjuangan, keberanian dan pengorbanan generasi terdahulu dalam mempertahankan keamanan negara.
Bagi generasi muda yang tidak pernah melalui zaman darurat, membayangkan kehidupan ketika negara berdepan ancaman komunis bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi memahami cabaran dihadapi anggota keselamatan ketika itu.
Namun, melihat sendiri peralatan yang pernah digunakan, gambar lama serta pelbagai peninggalan sejarah mampu memberikan gambaran lebih jelas berbanding sekadar membaca catatan dalam buku teks.
Lebih menarik, pembelajaran Sejarah kali ini bukan berlangsung di dalam bilik darjah, sebaliknya membawa pelajar mendekati sendiri khazanah negara yang tersimpan di Muzium Polis Diraja Malaysia (PDRM).









