KUALA LUMPUR: Kenaikan insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi acara berpasukan perlu dijadikan pembakar semangat buat atlet negara untuk meningkatkan pencapaian secara konsisten, terutama menjelang Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Arrifin Mohd Ghani berkata, peningkatan prestasi atlet menjadi balasan terbaik terhadap komitmen kerajaan dalam memastikan kebajikan dan pengiktirafan sewajarnya diberikan kepada mereka.

Beliau berkata, kenaikan kadar insentif itu membuktikan kesungguhan kerajaan menerusi MSN dalam menyediakan sokongan terbaik kepada atlet negara, selain diharap mampu meningkatkan motivasi mereka untuk menghasilkan prestasi cemerlang di pentas antarabangsa.