KUALA LUMPUR: Pelaksanaan pilihan raya negeri (PRN) secara berturut-turut tidak seharusnya menjejaskan dasar ekonomi dan kesinambungan pelaksanaan projek pembangunan.
Pengarah Pakar Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi Negara IPP Wealth Managers Ltd, Mohd Sedek Jantan, berkata kekerapan pilihan raya bukan faktor utama yang menentukan prestasi ekonomi negeri atau kecekapan pentadbiran, sebaliknya keupayaan kerajaan memastikan disiplin fiskal, kecekapan pengagihan sumber serta konsistensi dasar pembangunan.
Beliau berkata, fungsi pentadbiran kerajaan negeri yang digerakkan jentera perkhidmatan awam mempunyai struktur, prosedur dan tanggungjawab tersendiri, berbeza daripada proses politik yang menentukan hala tuju serta keutamaan dasar.








