MELAKA: Bangun seawal jam 3 pagi kerana tidak sabar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, Vong Fook Hoi atau lebih dikenali sebagai Uncle Wong, 88, setia mengayuh basikal ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Duyong, di sini, hari ini.

Uncle Wong mengakui tidak dapat tidur lena malam tadi kerana terlalu teruja untuk keluar mengundi.

"Saya bangun jam 3 pagi kerana tidak sabar mahu mengundi. Malam tadi pun saya tidak dapat tidur.

"Saya datang ke pusat mengundi ini menaiki basikal. Memang ke mana-mana saya pergi, saya naik basikal," katanya ketika ditemui selepas selesai mengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, di sini, hari ini.