KUALA LUMPUR – “Saya amat gembira kerana telah ‘mengganggu’ dan ‘mendesak’ anda serta kakitangan anda bagi menjayakan pertemuan ini,” kata Presiden Perancis Emmanuel Macron dalam ucapan pembukaan sebelum mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berlangsung di Bangunan Sultan Abdul Samad di sini hari ini.
Macron memulakan pertemuan dengan nada bersahaja sambil berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana sudi meluangkan masa menerima delegasi Perancis meskipun mempunyai jadual yang padat.
Macron ketawa kecil sambil berseloroh mengenai kesungguhannya dalam mengatur pertemuan itu.
Presiden Perancis itu turut berterima kasih kepada Anwar kerana menyusun semula jadualnya bagi memberi laluan kepada pertemuan berkenaan, sambil menyifatkan langkah itu amat bermakna buat beliau serta delegasi.










