KUALA LUMPUR: Presiden Perancis Emmanuel Macron memulakan pertemuan dengan nada bersahaja sambil berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana sudi meluangkan masa menerima delegasi Perancis meskipun mempunyai jadual yang padat.
Macron ketawa kecil sambil berseloroh mengenai kesungguhannya dalam mengatur pertemuan itu.
"Saya amat gembira kerana telah 'mengganggu' dan 'mendesak' anda serta kakitangan anda bagi menjayakan pertemuan ini," kata beliau dalam ucapan pembukaan sebelum mesyuarat dua hala bersama Anwar yang berlangsung di Bangunan Sultan Abdul Samad pada Selasa.
Presiden Perancis itu turut berterima kasih kepada Anwar kerana menyusun semula jadualnya bagi memberi laluan kepada pertemuan berkenaan, sambil menyifatkan langkah itu amat bermakna buat beliau serta delegasi.










