KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd melalui anak syarikatnya, Jelawang Capital memperluas kerjasama dengan enam pengurus dana di bawah Program Pengurus Dana Baru Muncul (EMP) dan Inisiatif Pengurus Dana Serantau (RMI), sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh ekosistem modal teroka dan syarikat pemula niaga di Malaysia.
Dalam satu kenyataan, Jelawang Capital memaklumkan empat pengurus dana yang baru dilantik ialah Bintang Capital Partners dan Sitara Capital menerusi EMP, serta Qualgro Ventures dan Jungle Ventures di bawah RMI.
Pelantikan itu menyusuli komitmen terdahulu Jelawang Capital di bawah kohort EMP 2025 kepada Superscrypt dan TNB Aura.
Menerusi EMP, Jelawang Capital menyokong pengurus dana yang layak dalam usaha mengumpul dana pertama, kedua atau ketiga mereka, dengan matlamat membangunkan firma pelaburan yang berkeupayaan menarik dan menguruskan modal institusi.









