KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (Mindef) memperkukuh ekosistem inovasi pertahanan menerusi Sistem i-MIND yang menghimpun, menyelaras dan mendokumentasikan produk, projek serta pencapaian inovasi warga kementerian dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sistem itu membolehkan hasil inovasi dikumpulkan, dianalisis dan diuruskan secara lebih sistematik, sekali gus menyokong proses membuat keputusan secara strategik.

Menurutnya, inovasi perlu diangkat sebagai budaya kerja memandangkan usaha itu mampu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta menghasilkan penambahbaikan dalam pelaksanaan tugas.

“Sistem i-MIND ini sendiri merupakan inovasi kerana ia mengalihkan pengurusan rekod inovasi yang bersifat berasingan kepada ekosistem pengurusan inovasi yang lebih bersepadu, berasaskan data dan menyokong proses membuat keputusan secara strategik,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.