Kuala Lumpur: Yayasan AmGroup terus memperkukuh komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam pemuliharaan hidupan liar apabila memperbaharui tajaan unta di Zoo Negara menerusi sumbangan berjumlah RM59,800 bagi tahun ini.
Pembaharuan tajaan berkenaan sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan yayasan itu mencecah RM1.1 juta sepanjang 41 tahun menjalinkan kerjasama strategik bersama pusat konservasi terkemuka itu.
Menerusi inisiatif terbaharu itu, tiga ekor unta yang berada di bawah jagaan Zoo Negara secara rasmi dinamakan sebagai Aman, Amal dan Amanee sebagai simbolik kepada nilai murni yang dibawa oleh organisasi terbabit.
Langkah proaktif ini mencerminkan iltizam berterusan Yayasan AmGroup dalam memastikan kebajikan haiwan sentiasa terbela, di samping menyokong usaha pemuliharaan biodiversiti dan perlindungan hidupan liar secara mampan.









