JOHOR BAHRU: Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah bertitah, teknologi kecerdasan buatan (AI) seharusnya dimanfaatkan untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat dan bukan untuk keuntungan ekonomi semata-mata.
Raja Zarith yang juga Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bertitah, dalam dunia yang kini dipacu teknologi AI, peluang dan cabaran yang akan dilalui adalah begitu besar dan mencabar.
Titahnya, sebagai universiti penyelidikan yang menerajui penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan pertama di Malaysia, UTM memikul tanggungjawab penting untuk memastikan pembangunan teknologi terus dipandu oleh etika, integriti dan nilai kemanusiaan.
Dalam masa sama, Baginda bertitah, kemajuan teknologi tidak boleh dipisahkan daripada kelestarian bumi.









